Anggota polis dan tentera melakukan sekatan jalan raya di laluan keluar masuk Plaza Tol Bukit Jelutong, Shah Alam ketika tinjauan pada 16 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PKP: Polis Petaling Jaya tambah dua lagi sekatan jalan

KUALA LUMPUR, 8 MEI: Polis Petaling Jaya menambah dua lagi sekatan jalan raya (SJR) melibatkan daerah itu susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan bermula pada 6 Mei hingga 17 Mei ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata lokasi SJR itu membabitkan Lebuhraya Persekutuan dan Taman Kannagapuram di bawah Lebuhraya Baru Pantai (NPE).

“SJR di Lebuhraya Persekutan bermula pada 4 petang ini sementara SJR di Taman Kannagapuram pada 12.01 malam ini,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata di daerah Petaling Jaya, hanya empat lokasi SJR dikekalkan membabitkan Tol Sungai Buloh, Tol Kota Damansara, Tol Damansara dan Tol Subang.

Beliau turut menasihati orang ramai agar terus mematuhi SOP supaya jaringan wabak Covid-19 dapat diputuskan.

-BERNAMA


Pengarang :