Selangorkini
Pihak polis melakukan sekatan jalan raya di sekitar kawasan Jalan Bukit Bintang bagi memantau pergerakan orang ramai susulan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika tinjauan pada 15 Januari 2021. Foto: BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Polis dilontar mercun selepas minta orang ramai bersurai

KUALA LUMPUR, 13 MEI: Sepasukan anggota polis dilontar mercun ketika cuba menghentikan kira-kira 200 penduduk kerana membakar bahan tersebut secara terbuka, di kawasan Pangsapuri Sri Perak, Bandar Baru Sentul awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 12.50 pagi dan apabila tiba di lokasi, keadaan menjadi sangat tegang dengan letupan mercun tidak terkawal dan memberi amaran agar perbuatan tersebut dihentikan, namun tidak diendahkan.

“Semasa pihak polis sedang menyuraikan orang ramai yang berkumpul, tiba-tiba satu letupan kuat berlaku dan hampir mengenai pihak polis yang sedang bertugas.

“Letupan dipercayai daripada mercun yang sengaja dilontar terhadap polis dan setelah itu orang ramai segera beredar dari kawasan itu. Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan polis berjaya mengawal tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3(5) Akta Kesalahan Kecil, kerana menakutkan secara jenayah dan larangan ke atas pemasangan bunga api yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan bersama-sama menjaga kesejahteraan serta keharmonian di Kuala Lumpur, sambil menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap individu-individu ingkar.

Beh meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu agar menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di 03-40482206.

-BERNAMA


Pengarang :