Dato’ Arjunaidi Mohamad (kanan) pada sidang media mengenai kejayaan rampasan dadah dan menumpaskan dua makmal dadah oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada 14 Julai 2020. Foto BERNAMA
SELANGOR

Polis rampas lebih RM14 juta dadah di Lembah Klang

SHAH ALAM, 21 MEI: Polis Selangor berjaya menumpaskan dua sindiket jenayah susulan rampasan dadah bernilai lebih RM14 juta dalam beberapa serbuan di sekitar Lembah Klang awal minggu ini, dan ia disusuli dengan kejayaan Pulau Pinang merampas syabu serta heroin bernilai sekitar RM3.5 juta bersama sepucuk pistol dan peluru dalam dua serbuan pada hari berikutnya.

Dalam serbuan di Lembah Klang pada hari Isnin dan Selasa lepas, Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata polis merampas 934.41 kilogram (kg) dadah jenis heroin, 170 kg syabu serta 56.24 kg heroin base dan menahan lapan suspek berumur antara 24 dan 45 tahun yang merupakan ahli sindiket berkenaan.

Katanya bagi sindiket pertama, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman telah melancarkan enam serbuan di lokasi berbeza di sekitar Bandar Kinrara, Puchong; Subang Jaya serta Brickfields pada hari Isnin.

Bercakap kepada pemberita dalam persidangan media di sini hari ini beliau berkata dalam salah satu serbuan di sebuah rumah teres di Bandar Kinrara, polis turut menemukan wang tunai berjumlah RM1.08 yang dipercayai hasil aktiviti penjualan dadah.

Menurutnya polis merampas dadah dengan nilai berjumlah RM3.42 juta susulan penahanan enam anggota sindiket itu.

Arjunaidi berkata sindiket kedua ditumpaskan dalam serbuan pada hari Selasa yang menyaksikan dua lelaki masing-masing berumur 25 dan 41 tahun ditahan di sekitar Seri Kembangan selepas polis merampas dadah jenis syabu serta heroin base berjumlah RM11.09 juta.

Beliau semua suspek kedua-dua sindiket itu ditahan reman antara dua hingga tujuh hari bermula Selasa dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pada hari Rabu pula, polis Pulau Pinang menahan seorang lelaki dan merampas syabu serta heroin bernilai RM3.5 juta, dan sepucuk pistol serta peluru, dalam serbuan di Kepala Batas, dan Bukit Minyak.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan berkata lelaki berusia 21 tahun yang bekerja sebagai penjual tangkal Buddha itu ditahan di Jalan Bertam, Kepala Batas pada pukul 6.00 petang oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang hasil risikan dan intipan.

“Ekoran penahanan lelaki itu, polis kemudiannya menyerbu sebuah rumah kedai di Bukit Minyak dan berjaya membongkar tempat penyimpanan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Hasil pemeriksaan di rumah kedai itu, polis merampas 97,140 gram (g) syabu, heroin (190g), bahan kimia cecair dan peralatan serta mesin pembungkusan dadah. Polis turut menemui sepucuk pistol bersama dua kelopak mengandung 15 butir peluru,” tambahnya.

Katanya siasatan mendapati rumah kedai itu dijadikan stor untuk menyimpan semua bekalan dadah yang dipercayai dibawa masuk dari Kuala Lumpur sebelum dibungkus semula dalam kuantiti kecil untuk pasaran Pulau Pinang dan negeri di utara.

Sahabudin berkata siasatan mendapati lelaki itu aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak Januari lepas dan semua dadah bernilai RM3.5 juta itu dipercayai boleh digunakan oleh 486,000 orang penagih dadah.

Beliau berkata lelaki itu turut disiasat berhubung satu kes melarikan orang di Butterworth pada 1 Mei lepas dan dia kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971.

Sementara itu Sahabudin berkata pada hari yang sama polis berjaya menumpaskan satu lagi sindiket pengedaran dadah selepas menahan tiga lelaki berumur dalam lingkungan 24 hingga 26 tahun, dan merampas dadah bernilai RM310,000 dalam dua serbuan di Mak Mandin serta Butterworth.

Menurutnya polis turut menyita sebuah motosikal Yamaha LC 135 serta barang kemas yang jumlah nilai semuanya sekitar RM18,515, dam ketiga-tiga suspek kini direman selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

– BERNAMA


Pengarang :