Usahawan dan selebriti Noor Neelofa Mohd Noor (tiga, kiri) dan suami, Muhammad Haris Mohd Ismail (dua, kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret pada 20 Mei 2021 atas kesalahan melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah kedai karpet, di Nilai, awal bulan ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Polis siasat Neelofa pakai niqab tanpa pelitup muka

SHAH ALAM, 21 MEI: Polis akan mengambil tindakan terhadap selebriti terkenal, Neelofa yang hanya mengenakan niqab tanpa memakai pelitup muka di Mahkamah Majistret Seremban, semalam.

Ketua polis Seremban berkata, pihaknya membuka kertas siasatan susulan tular berita di sebuah portal yang memaparkan Neelofa tidak memakai pelitup muka seperti diwajibkan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Laporan polis diterima kerana tindakan tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) pemakaian pelitup muka seperti diwajibkan pihak KKM kepada semua orang termasuk mereka yang mengenakan niqab penuh atau separuh.

“Penjelasan berkenaan perkara ini telah dikeluarkan juga oleh KKM setelah kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di semua tempat awam mulai 1 Ogos 2020,” kata Asisten Komisioner, Mohd Said Ibrahim menerusi kenyataan.

Katanya, satu siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan [Akta 574] dan Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 [P.U.(A)225/2021].

“Polis tidak akan berkompromi dalam mengambil apa juga tindakan bagi memastikan SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan peraturan  KKM sentiasa dipatuhi,” katanya.

Semalam Neelofa dan suami, Muhammad Haris Mohd Ismail mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban atas kesalahan melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah kedai karpet, di Nilai, awal bulan ini.

Mahkamah membenarkan Muhammad Haris diikat jamin RM10,000 manakala Neelofa diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Jun untuk sebutan semula kes.


Pengarang :