AGENSISELANGOR

Polis tahan enam lelaki terlibat kes curi motosikal

SHAH ALAM, 11 MEI: Polis Klang Selatan menahan enam lelaki berumur antara 21 hingga 41 tahun kerana disyaki terlibat dengan kes kecurian lima buah motosikal.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Shamsul Amar Ramli berkata polis menerima laporan daripada seorang agen penghantaran kenderaan yang menyatakan sebuah motosikal milik pelanggannya telah hilang disyaki dicuri pada 4.15 pagi, Ahad lepas.

Beliau berkata bertindak atas maklumat, kira-kira dua jam kemudian pihak polis telah menahan enam lelaki yang disyaki terlibat dengan kes tersebut di Taman Bayu Tinggi, Klang dekat sini.

“Ketika ditahan turut dirampas adalah dua buah motosikal dengan nombor pendaftaran palsu, sebuah motosikal, satu enjin motosikal dan satu chasis motosikal yang pernah dilaporkan hilang sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shamsul Amar berkata suspek yang ditahan mengaku terlibat dengan kes tersebut dengan empat daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan semua yang ditahan direman selama empat hari bermula 10 hingga 13 Mei ini.

-BERNAMA


Pengarang :