Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak pada 30 April 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Polis tahan lelaki tendang pintu pagar masjid hingga tercabut

KUALA LUMPUR, 16 MEI: Akibat marah kerana tidak diberi kebenaran bersolat di sebuah masjid di Batu Caves, di sini, seorang lelaki bertindak menendang pintu pagar masjid berkenaan sehingga tercabut, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata susulan satu laporan, polis menahan suspek lelaki berumur 35 tahun itu, yang perbuatannya dikesan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) masjid berkenaan.

Beliau berkata rakaman CCTV itu menunjukkan seorang lelaki yang menaiki kereta jenis Nissan Navara bertindak menendang pintu pagar masjid sehingga tercabut lalu terjatuh.

“Polis telah menahan suspek selepas dia hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak berhubung kes itu semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat harta benda, dan Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membencana atau mencemarkan tempat ibadat.

Arifai berkata masjid berkenaan sememangnya ditutup, dan notis penutupannya ada ditampal di pintu pagar masjid itu.

– BERNAMA


Pengarang :