AGENDANASIONAL

Polis tahan warga asing anjur jamuan di Kajang

KUALA LUMPUR, 15 MEI: Polis menahan seorang lelaki warga Myanmar dan mengesan sekumpulan warga asing yang disyaki melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menganjurkan jamuan makan di Sungai Sekamat, Kajang semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata lelaki itu ditahan selepas pihaknya mengesan dua video tular berhubung pelanggaran SOP PKP yang membabitkan sekumpulan warga asing.

“Lelaki berkenaan mengaku mengadakan majlis itu pada 13 Mei dan kita masih mengesan individu yang hadir ke majlis berkenaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan dan boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang atau pegawai penyiasat kes Insp Zazali Kenek di talian 019 2990062,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) (Pindaan 2021) dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan yang sah.

Terdahulu tular video berdurasi satu minit 36 saat memaparkan sekumpulan lelaki disyaki warga asing menganjurkan jamuan makan di media sosial, dan video itu mendapat kecaman serta kritikan warganet.

-BERNAMA


Pengarang :