Selangorkini
Anggota polis dan tentera melakukan sekatan jalan raya di laluan keluar masuk Plaza Tol Bukit Jelutong, Shah Alam pada 16 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Polis tambah sekatan jalan, tubuh pasukan pantau pematuhan SOP

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Polis meningkatkan penguatkuasaan dan kawalan di sempadan negeri dan daerah serta kawasan tumpuan awam bagi memastikan orang ramai mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Covid-19 dan tidak melakukan perjalanan rentas negeri atau daerah.

Malah beberapa ketua polis negeri turun padang hari ini bagi memastikan penguatkuasaan pematuhan SOP dilaksanakan dalam usaha memutuskan penularan jangkitan wabak yang boleh membawa maut itu.

Di bandar raya ini yang di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Jumaat lepas, polis Kuala Lumpur menubuhkan 91 Pasukan Pemantauan Pematuhan SOP terdiri daripada lima pegawai dan 1,200 anggota yang akan digerakkan ke kawasan tumpuan ramai untuk melakukan pemantauan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim yang ditemui selepas meninjau sendiri pematuhan SOP PKP di bazar Aidilfitri, Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) berkata pasukan itu juga akan memberi peringatan berterusan kepada orang ramai dari semasa ke semasa supaya sentiasa mematuhi SOP.

Beliau berkata pihaknya turut dibantu 61 pasukan penguat kuasa daripada agensi lain seperti Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kompaun akan dikeluarkan kepada individu yang masih bersikap sambil lewa dan ingkar arahan yang ditetapkan, katanya.

Di Johor pula, walaupun larangan rentas negeri dan daerah dikeluarkan, masih ramai yang mencuba nasib membuat permohonan untuk merentas negeri dan antara alasan yang diberikan ialah untuk pulang berhari raya menziarah keluarga.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata dalam tempoh 25 April hingga semalam pihaknya menerima 19,090 permohonan untuk merentas negeri dan daerah.

Sebanyak 465 permohonan ditolak berikutan alasan yang tidak munasabah, katanya kepada pemberita selepas meninjau sekatan jalan raya di Seelong di sini.

“(Lepas ini) dah tiada nasihat-nasihat. Banyak kali nasihat dan amaran (telah diberikan sebelum ini). Kalau kita tangkap (lepas ni), kita akan terus kompaun dan jangan cakap polis tidak bertimbang rasa.

“Amaran sudah diberi jadi perlu bertanggungjawab,” katanya sambil memberitahu seramai 1,212 pegawai dan anggota bertugas pada Aidilfitri ini dengan 840 orang di sekatan jalan raya (SJR).

Di Pulau Pinang pula polis menambah sekatan jalan raya daripada 15 kepada 41 berikutan pelaksanaan PKP di tiga daerah dan tiga mukim di negeri itu bermula esok hingga 23 Mei bagi memastikan orang ramai tidak merentas negeri atau daerah.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan berkata selain itu polis juga akan melakukan sekatan jalan raya bergerak di 10 laluan tikus yang dikenal pasti.

“Seramai 3,500 daripada 6,022 pegawai dan anggota polis di negeri ini terlibat dalam penugasan berkaitan Covid-19 termasuk SJR serta Ops Covid-19 manakala selebihnya menjalankan tugasan hakiki sedia ada,” katanya ketika dihubungi.

Tiga daerah yang dikenakan PKP di negeri itu ialah Timur Laut, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan serta Bandar Butterworth dan Mukim 14 di Seberang Perai Utara (SPU) serta Mukim 12 di Barat Daya.

Sahabudin berkata pihaknya juga akan lebih teliti dalam meluluskan permohonan rentas negeri atau daerah bagi memastikan tiada yang mengambil kesempatan dengan memberikan maklumat tidak tepat untuk melakukan perjalanan.

“Pelbagai alasan yang diberikan tapi kami mahukan bukti…jika salah guna kebenaran yang diberikan, tiada lagi amaran, kita akan terus kompaun,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :