AGENDANASIONAL

Polis: Video pengunjung sesak bukan di GM Klang, Kompleks PKNS Shah Alam

SHAH ALAM, 9 MEI: Polis menafikan video tular memaparkan orang ramai berpusu-pusu tanpa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) untuk membeli-belah berlaku di GM Klang atau Kompleks PKNS Shah Alam.

Ketua Polis Selangor Dato’ Arjunaidi Mohamed berkata penelitian melalui perbandingan tempat yang ditunjukkan dalam video mendapati ia berbeza dengan bentuk fizikal kedua-dua premis tersebut.

“Pemantauan juga mendapati tiada berlaku sebarang pelanggaran pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh orang ramai,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau mengingatkan orang ramai tidak membuat kesimpulan sendiri berkaitan sesuatu isu yang ditularkan pihak tidak bertanggungjawab.

Arjunaidi menambah pihaknya terus meningkatkan rondaan dan pemantauan di semua lokasi orang ramai bagi memastikan SOP PKP dipatuhi.

Terdahulu, Polis Selangor mengesan satu video klip selama 19 saat yang tular melalui media sosial dan didakwa sesetengah pihak berlaku sama ada di GM Klang atau Kompleks PKNS Shah Alam.


Pengarang :