Seorang lelaki maut selepas kenderaan yang dinaikinya terputus dua dalam kejadian di Simpang Empat Kampung Sireh, Kelantan pada 21 Mei 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Puntung rokok punca kereta bawa mercun bola meletup

SHAH ALAM, 22 MEI: Puntung rokok dipercayai punca sebuah kereta yang membawa muatan mercun bola meletup petang semalam di persimpangan Kampung Sireh, Kota Bharu.

Ketua polis Kelantan berkata beberapa saksi ternampak mangsa cuba membuang puntung rokok sebelum kereta Proton Iswara Aeroback yang dipandunya meletup.

“Ketika kejadian, sebuah kereta yang berada di hadapan kereta mangsa telah berhenti di persimpangan itu ekoran lampu isyarat merah.

“Ada saksi melihat mangsa cuba membuang puntung rokok keluar dari cermin yang dibuka dalam keadaan sempit sebelum kereta tersebut meletup,” kata Datuk Shafien Mamat seperti dilapor Kosmo.

Beliau berkata polis turut menyiasat kuantiti mercun bola terbabit selain penglibatan mangsa dalam kegiatan penyeludupan dan penjualan barangan itu.

“Semakan lanjut turut mendapati mangsa mempunyai rekod jenayah berkaitan kes penyalahgunaan dadah dan pecah rumah,” kata Shafien lagi.

Mangsa Wan Hassan Wan Ali, 48, maut selepas kenderaan yang dipandunya meletup dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang semalam.

Kejadian itu turut menyebabkan lima lagi kenderaan berhampiran rosak termasuk satu terbakar.


Pengarang :