Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara, Shatiri Mansor
ADNAGENDANASIONALSELANGOR

Putrajaya disaran beri peluang Selangor urus vaksin, percepat imuniti kelompok

SUBANG, 28 MEI: Kerajaan persekutuan disaran memberi kebebasan kepada Selangor menguruskan program suntikan vaksin Covid-19 bagi mempercepat imuniti kelompok.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara berkata Kerajaan Negeri berupaya berbuat demikian seperti pelaksanaan Program Saringan Komuniti secara besar-besaran ketika ini.

“Kita berharap pihak berkaitan mempertimbangkan cadangan ini apatah lagi program saringan secara percuma yang dilaksanakan pada setiap hari mengesan banyak kes positif.

“Majoriti rakyat mahu cepat terima suntikan vaksin susulan peningkatan kes kebelakangan ini,” kata Shatiri Mansor pada program Saringan Komuniti di Dewan Serbaguna MBSA U5, Subang Bestari semalam.

Pada 19 Mei Dato’ Menteri Besar menjangkakan proses pembelian 2.5 juta dos vaksin dimuktamad pada bulan depan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata vaksin itu diagih percuma kepada rakyat selain dijual kepada majikan pada harga kos.

Pada 18 Januari, Kerajaan Selangor mengumumkan hasrat membeli lima juta dos vaksin melalui peruntukan RM100 juta bagi membantu mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.


Pengarang :