Petugas Kesihatan Selcare melakukan ujian calitan kepada peserta Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar di Dewan Serbaguna Kuang, Gombak pada 21 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Putrajaya perlu contohi Selangor tangani wabak Covid-19

GOMBAK, 21 MEI: Usaha Kerajaan Selangor mengadakan program saringan percuma besar-besaran bagi menangani pandemik Covid-19 wajar dicontohi kerajaan persekutuan.

Wakil rakyat Kuang Sallehudin Amiruddin berkata langkah diambil Dato’Menteri Besar adalah mahu melihat penduduk sihat selepas terganggu dengan pandemik yang melanda negara.

“Kerajaan Negeri melihat kelompongan ini lebih awal dengan membuat saringan secara besar-besaran yang tidak dibuat di negeri lain.

“Dalam situasi yang dihadapi negara ketika ini kerajaan pusat juga perlu melakukan perkara yang sama,” kata beliau selepas meninjau Saringan Komuniti di Dewan Serbaguna Kuang di sini, hari ini.

Menurut Sallehudin sepatutnya kerajaan persekutuan mengambil peluang melakukan kaedah yang digunakan Selangor ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 pada Januari lalu.

Orang ramai beratur menunggu giliran bagi membuat ujian calitan ketika Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar di Dewan Serbaguna Kuang, Gombak pada 21 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Bila Selangor buat ramai kata memandai-mandai tetapi ini langkah tepat. Ini bila kes melebihi 5,000 sehari, angka kematian dari satu angka kepada dua angka baru mula nak ambil tindakan.

“Menerusi saringan ini kita boleh asingkan di mana yang sihat boleh keluar bekerja, namun SOP (tatacara operasi piawai) yang dibuat kerajaan sentiasa berubah-ubah menjadi perkara yang menyusahkan rakyat,” katanya.

Kerajaan Selangor menerusi Pakej Kita Selangor memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan saringan berkenaan di seluruh negeri untuk membendung penularan wabak.

Program itu dijangka memanfaatkan 50,000 rakyat dengan tumpuan kepada golongan sasar seperti warga emas, kumpulan berpendapatan rendah (B40) serta mahasiswa anak Selangor.


Pengarang :