Rakaman takbir raya melibatkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, barisan EXCO dan pegawai kanan kerajaan di puncak Bukit Malawati, Kuala Selangor. Foto ihsan Gaya Travel Magazine
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Rakaman takbir guna dron disiar di SelangorTV

SHAH ALAM, 11 MEI: Rakaman takbir raya di puncak lokasi bersejarah Bukit Malawati, Kuala Selangor akan disiar melalui saluran selangortv.my dan Youtube carian SelangorTV.

Siaran tersebut akan ke udara berterusan mulai azan maghrib pada jam 7.20 pada hari terakhir Ramadan (12 Mei) hingga pagi 1 Syawal.

Bagi memberi kesan unik, satu unit dron dan tiga kamera digunakan dalam rakaman takbir yang dipimpin Imam Masjid Negeri Abdul Karim Omar dan disertai Dato’ Menteri Besar, barisan EXCO serta pegawai kanan kerajaan.

Penerbit eksekutif Megaday Media Sdn Bhd berkata rakaman takbir yang dilaung dalam rakaman tersebut pertama kali dijalankan dalam suasana di luar masjid.

“Rakaman menggunakan dron supaya dapat menghasilkan visual seakan-akan dalam filem. Ia lebih sinematik, juga menghasilkan suasana indah dan lebih syahdu,” kata Azhar Sulaiman kepada Selangorkini baru-baru ini.

Beliau menjelaskan rakaman berkenaan dilakukan di Kuala Selangor berikutan lokasi itu menyimpan khazanah sejarah awal kesultanan Selangor, Sultan Salehuddin Shah ibni Almarhum Daeng Celak.

“Meriam di Bukit Malawati menjadi salah satu prop utama dalam penggambaran. Jika orang dulu-dulu bertakbir tetapi senjata di sisi adalah keris, kali ini kita letakkan (paparkan) meriam.

“Kami pasang pentas di puncak Bukit Malawati dan mereka bertakbir sambil menghadap matahari terbenam,” kata artis terkenal itu kepada SelangorKini baru-baru ini.

Rakaman takbir tersebut sebahagian program Senandung Aidilfitri #KitaSelangor yang bakal dipancar melalui wadah sama jam 9 malam pada 2 Syawal.

Selebriti Raja Azura, Salih Yaacob dan Ropie Cecupak mengacara program yang disertai artis terkenal antaranya Siti Nordiana, Najwa Latif, Bunkface dan Ahmad Yassin yang memiliki versi suara Allahyarham Datuk Ahmad Jais.

Che Puan Juliana Evans turut melakonkan sketsa nasib golongan berpendapatan rendah yang menerima Inisiatif Peduli Rakyat.

Facebook Media Selangor juga mengadakan siaran ulangan program berkenaan pada 3 Syawal jam 3 petang.


Pengarang :