Petugas Kesihatan Selcare menganalisis sampel Covid-19 ketika Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di Dewan Orang Ramai Titiwangsa, Hulu Langat pada 10 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Rakyat yakin Saringan Komuniti mampu urus Covid-19

HULU LANGAT, 11 MEI: Pelaksanaan program saringan komuniti menyakinkan rakyat berhubung kemampuan Kerajaan Negeri mengurus peningkatan kes Covid-19.

Nor Hanizah Abd Manaf. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Nor Hanizah Abd Manaf, 44, berkata tindakan proaktif melaksana saringan secara percuma di setiap kawasan memberi kelegaan kepada orang ramai yang bimbang dengan perebakan wabak mutakhir ini.

“Saya hadir bersama rakan sekerja menjalani saringan dan melihat ramai beratur, ini menunjukkan sokongan serta kesedaran masyarakat meningkat,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri program Saringan Komuniti Covid-19 Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua di Dewan Orang Ramai Titiwangsa semalam.

Chan Wai. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Bagi Chan Wai, 25, inisiatif saringan percuma perlu diadakan dari semasa ke semasa dan bukan hanya ketika kes positif melonjak.

“Selain itu kekerapan mengadakan saringan di lokasi panas mengurangkan risiko penularan dalam komuniti,” katanya.

Harapan sama dikongsi K Ramesh, 32, supaya saringan percuma diadakan lebih kerap di lokasi zon merah atau di penempatan kepadatan tinggi.

K Ramesh. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sementara itu, Nordin Busu, 70, mencadangkan Kerajaan Negeri menambah baik program dengan memberi perhatian khusus kepada golongan berisko tinggi seperti warga emas.

Kerajaan Negeri menerusi Pakej Kita Selangor memperuntuk RM6 juta bagi melaksana saringan komuniti percuma yang kini diadakan di seluruh 56 DUN bermula 8 Mei hingga 10 Jun.

Pendaftaran boleh dibuat menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah), klik butang sihat dan guna fungsi saringan atau layari http://screening.selangkah.my


Pengarang :