AGENDAEKONOMINASIONAL

RAM Ratings jangka Bank Negara kekal OPR pada 1.75 peratus

KUALA LUMPUR, 5 MEI: RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings) menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang akan berlangsung pada 6 Mei ini.

Agensi penarafan kredit itu berkata permintaan eksport kukuh, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang sedang dijalankan dan pelbagai dasar fiskal serta monetari yang menyokong akan membantu dalam pemulihan ekonomi ketika ini.

“Paras kadar faedah sekarang adalah mencukupi untuk mengekalkan momentum pemulihan semasa,” kata RAM Ratings dalam satu kenyataan semalam.

Data terkini menunjukkan pemulihan yang lebih baik daripada yang dijangkakan untuk eksport.

RAM Ratings berkata keseluruhan indeks pengeluaran industri meningkat 1.5 peratus pada Februari berbanding secara purata sebanyak 2.8 peratus antara tahun 2018 dan 2019, disokong oleh sektor pembuatan.

“Ketika keadaan domestik Malaysia masih tidak berubah, kebangkitan global telah mendorong permintaan untuk barang-barang buatan kita, ia akan meningkatkan pengeluaran pembuatan Malaysia,” katanya.

Eksport melonjak 31 peratus pada bulan Mac dari 17.6 peratus pada bulan Februari, peningkatan itu adalah daripada segmen pembuatan yang mencatatkan pertumbuhan 35.8 peratus berbanding 20.9 peratus pada bulan Februari.

– BERNAMA

 


Pengarang :