Selangorkini
BUDAYA RENCANA

Realiti palsu dalam pandemik

Oleh Adam Taufiq Suharto 

Ilustrasi Matarojit

‘Dunia ini pentas, dan manusia adalah para pelakonnya.’ 

TERNYATA, kata-kata Shakespeare itulah yang dibuat sandaran dan tiang seri buat filem The Truman Show untuk membongkar dan menyedarkan kita selaku penonton bahawa Truman (lakonan Jim Carrey) sedang menjadi pemain dalam sebuah ‘pentas’ atau sebuah pertunjukan televisyen yang tanpa dirinya sendiri sedar! Terdedahlah bahawa, segenap hal hidupnya diatur pihak produksi, dari hal meletakkan namanya, pekerjaan, apa yang dimakan, dengan siapa dia boleh berkahwin, dengan siapa dia boleh berkawan, kepada siapa dia boleh mencurahkan sayang, bila ahli keluarganya akan menemui kematian, semuanya diaturkan untuk Truman terus hidup dalam set studio maha besar, tempat di mana kota-pulaunya kediamannya diletakkan.

Secara terang-terangan, kita faham bahawa Peter Weir, pengarah (sebenar) filem ini ingin mengkritik kebobrokan pertunjukan-pertunjukan televisyen (lebih tepat: pertunjukan TV realiti) yang memalsu realiti bukan sahaja kepada penikmatnya, bahkan kepada pemainnya juga. Sepengetahuan kita, ada saja fenomena malah konflik dalam pertunjukan TV realiti yang memaksa pemainnya agar merahsiakan identiti sebenar, memanipulasi status perkahwinan, membataskan pergaulan demi menjaga rating tontonan.

 Benarlah hemat Gary Oldman, pelakon masyhur dan dedikasi, yang kala diwawancara Independent, melabel pertunjukan TV realiti sebagai ‘muzium kemerosotan masyarakat (museum of social decay)’. Sebenarnya, ada lagi maki-hamun dan rungutan dari Gary Oldman, tapi demi menjaga keamanan seantero galaksi, kita tinggalkan saja rungutan selebihnya dalam ruang siber. 

Dalam konteks filem The Truman Show, kita diperlihatkan bahawa Truman telah dijadikan subjek pertunjukan TV realiti semenjak lahir sehingga menjelang dewasa, susunan hidupnya menjadi tatapan jutaan penonton dari seluruh dunia. Dakwa Christof, watak si pengarah pertunjukan TV realiti, The Truman Show yang diarahkannya itu dilabel sebagai ‘kehidupan yang sempurna dan nyata’. Persoalannya, benarkah semuanya sempurna? Atau persoalan yang lebih khusus, adakah yang namanya realiti itu… sempurna? 

Cinta

Mungkin benar, mungkin tidak tetapi seperti Truman, dia ada segala-galanya, ibu dan ayah, isteri, rumah, pekerjaan, kejiranan yang ramah, semua disediakan pihak produksi TV realiti dengan baik untuk dia menjalani hari-hari hidupnya walaupun dunia yang disangka realiti itu hanyalah kepura-puraan. Sayang seribu kali sayang, walaupun dia memiliki segala-galanya, dia masih tidak memiliki semuanya. Antara yang tak dimiliki Truman adalah: cinta. 

Dia dinafikan hak untuk bebas berkasih sayang. Lauren Garland (lakonan Natashca McElhoe), salah seorang pemeran tambahan (extra cast) dalam pertunjukan TV realiti (dalam filem itu) tak sengaja memanah kasih ke jantung Truman. Disebabkan produksi sudah memiliki plan dan kandungan yang lain untuk kisah cinta Truman (yang dipercayai lebih disukai penonton), Lauren kemudiannya diusir keluar di saat dia hampir dapat menyedarkan Truman akan segala kepalsuan yang dihidupi.  Lauren dituduh gila, mengidapi schizophrenia dan akan dibawa jauh ke Fiji. Ah! Barangkali itulah kenyataan dunia. Yang berkata benar akan disabit gila dan tidak siuman, yang berkata benar akan disabit songsang dan menyesatkan. 

Namun, gemuruh rindu dan cintanya yang membara kepada Lauren Garland mendorongnya mencari jalan keluar untuk mendapatkan cita dan cintanya. Perlahan-lahan, si Truman mulai musykil dan berwaspada akan realiti yang dihidupi. Semuanya diawali dengan spotlight yang terjatuh dari langit, diikuti siaran radio di keretanya yang bertukar kepada transmisi kru-kru TV realiti tersebut, membawa kepada percubaan Truman menerobos keluar dengan kereta dan kemuncaknya apabila dia membuang trauma dan fobianya pada laut (angkara memori bapanya mati lemas) untuk berlayar dan meninggalkan pulau yang didudukinya. 

Kita rehat seketika dari memikirkan apakah nasib Truman seterusnya kerana dalam keharuan menonton semangat juang Truman untuk menjadi ‘manusia sebenar’, saya mulai mengenangkan keadaan pandemik yang membarah kala ini. Ternyata, menonton The Truman Show dalam detik pandemik Covid-19 membuatkan kita (atau sekurang-kuranngya saya) menjadi semirip Truman yang mula terdedah akan beberapa realiti palsu dan mula bersyak-wasangka.

Rupa-rupanya, selama ini kita hidup dalam kepalsuan dan kepura-puraan realiti yang dicipta atau direka pihak-pihak tertentu. Saat demi saat, terbongkar kebobrokan pihak-pihak yang bertopeng-topeng itu antaranya si kapitalis yang rakus, orang-orang berada, politikawan usang, dan tak ketinggalan ‘seniman-seniman’ plastik yang tidak empati, tidak simpati kepada mereka yang di bawah, malah seolah menyangka mereka turun dari kayangan dan berhak diistimewakan. Lebih membara, tatkala ada yang mengambil kesempatan dalam kesempitan. Misalnya, melambungkan harga barang melangit atau mengerah pekerja membanting tulang dengan upah tak setimpal atau orang-orang besar syarikat yang lebih tergamak membuang para buruhnya berbanding merendahkan gaji sendiri. Perlahan-lahan, wabak yang melanda menyedarkan bahawa kita telah lama pun bergelumang dengan wabak yang meraksasa yakni kepura-puraan dan kepalsuan. 

Babak akhir

Kembali kepada untung nasib si Truman. Babak akhir The Truman Show adalah antara yang senantiasa berputaran di minda. Babak itu adalah tatkala Christof, watak pengarah pertunjukan TV realiti merayu kepada Truman agar tidak meninggalkan pintu keluar studio selepas berjaya mengharungi perlayaran di laut yang penuh badai secara langsung (live). Di saat dia sedaya upaya mempercayakan Truman bahawa jutaan penonton mahu Truman kembali kepada kehidupannya di dalam pertunjukan TV-nya yang ‘sempurna’ dan penuh ‘bahagia’, ternyata Christof tersalah tentang kemampuan ‘watak ciptaannya’ itu. Truman akhirnya tetap keluar meninggalkan studio dan lebih mengejutkan, jutaan penonton dari seluruh dunia meraikan keberanian dan pembebasan seorang Truman dari realiti palsu yang dihidupi karakter itu dan penonton selama ini.

Buat saya, babak akhir ini terlalu besar dan bermakna kerana boleh dianggap sebagai jentikan nakal kepada studio-studio besar dan industri yang selama ini mendakwa seolah-olah merekalah paling arif dan kenal citarasa manusia atau penonton, malah berdakyah pula bahawa kesenian yang baik harus dihasilkan berpaksi citarasa majoriti dengan berkiblatkan data dan angka semata. Mirip gagalnya Christof mengawal kehendak Truman dan para penontonnya, di alam nyata pula, mereka (baca: industri) tidak akan dapat mengawal, meramal dan membaca citarasa dan hati nurani penontonnya berlandaskan segala data dan angka, kerana penonton itu adalah manusia yang kompleks dan bukanlah mesin atau binatang peliharaan yang boleh diprogram-programkan atau dirantai-garikan citarasa dan rohnya untuk mengenal dan mencari realiti yang nyata. 


Pengarang :