Orang ramai menunggu giliran bagi membuat ujian calitan kepada Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar di Dewan Beringin, Taman Seri Gombak, Gombak pada 19 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Rela beratur panjang, tidak mahu lepas peluang jalani saringan percuma

GOMBAK, 20 MEI: Seorang wanita sanggup beratur panjang sambil menyiapkan tugasan pejabat semata-mata tidak mahu melepaskan peluang menyertai program Saringan Komuniti percuma.

Norrosari Arifin, 27, yang berkhidmat di bahagian pengurusan sebuah pasar raya di ibu negara sepatutnya bekerja dari rumah memandangkan tempat dia bertugas sedang melalui proses nyahkuman.

Namun, penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) yang kini menjalani latihan industri di pasar raya berkenaan tidak menjadikan situasi itu sebagai halangan sebaliknya tetap menjalani saringan bagi mengetahui status kesihatan diri.

Norrosari Arifin, 27, bercakap kepada media selepas melakukan ujian calitan ketika Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar di Dewan Beringin, Taman Seri Gombak, Gombak pada 19 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Sebelum datang saringan, saya maklumkan kepada majikan terlebih dahulu dan dibenarkan untuk berbuat demikian tetapi kerja harus diselesaikan.

“Saya beratur hampir dua jam sejak 8 pagi. Sementara menunggu giliran saya sempat membuat beberapa urusan kerja seperti membalas emel dan menyediakan dokumen melalui telefon pintar,” katanya.

Beliau antara ribuan pengunjung yang tampil menjalani saringan percuma anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Beringin, Gombak Setia di sini hari ini.

Sementara itu, Marini Hamid yang pertama kali merasai pengalaman membuat saringan berkata dia terpaksa melupakan perasaan gemuruh seketika demi memastikan dirinya bebas jangkitan wabak.

Suri rumah berusia 50 tahun itu bimbang selepas mengetahui suami dan anak lelakinya menjadi kontak rapat kepada kes positif di tempat kerja masing-masing.

“Walaupun hanya duduk di rumah tetapi saya risau sebab suami dan anak lelaki tinggal bersama dan mereka sering berada di luar,” kata ibu lima anak yang menetap di Flat Pinggiran Fasa Dua, Taman Batu Caves di sini.

Marini Hamid, 50, bercakap kepada media selepas melakukan ujian calitan ketika Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar di Dewan Beringin, Taman Seri Gombak, Gombak pada 19 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Di Dewan Sri Siantan, Sungai Tua di sini pula seorang wanita melakukan saringan susulan mengalami gejala demam dan batuk sejak suaminya disahkan positif Covid-19 beberapa hari lalu.

Nur Nazihah Mohamad, 31, turut membawa dua anak kecil berusia masing-masing tiga dan satu tahun menjalani ujian tersebut sebagai langkah keselamatan.

“Saya dapat tahu suami positif semalam selepas kami buat saringan di klinik swasta beberapa hari lepas dan sekarang suami sedang jalani kuarantin di rumah,” katanya.

Seorang lagi peserta Mohamad Shahril Idris, 35, berkata sebagai pembekal barangan segar yang sering berinteraksi dengan peniaga di pasar borong, saringan itu merupakan suatu keperluan penting.

“Ini kali kedua saya sertai saringan percuma dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana menyediakan inisiatif sebegini yang ternyata memanfaatkan semua peringkat lapisan dari kanak-kanak sehingga dewasa,” katanya.

 


Pengarang :