Anggota polis memantau pergerakan setiap kenderaan yang merentas daerah atau negeri pada tinjauan operasi sekatan jalan raya (SJR) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di Plaza Tol Bukit Jelutong, Shah Alam pada 10 Mei 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Rentas negeri: Polis laksana sekatan di lebuh raya

SEREMBAN, 11 MEI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) mengadakan sekatan kenderaan di lebuh raya setiap hari menerusi Op Rentas bermula semalam sehingga 16 Mei ini, dalam usaha menyekat pergerakan rentas negeri.

Timbalan Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, sekatan jalan raya tersebut dilakukan di semua sektor termasuk di Lebuhraya Utara Selatan dan Lebuhraya Timur Barat, yang melibatkan 28 sektor dan lima zon.

“Sekatan di lebuh raya ini tidak dilakukan secara statik seperti sekatan jalan raya yang dilakukan oleh pihak kontinjen, tetapi ia dilakukan pada waktu tertentu di setiap sektor.

“Arahan telah diberi kepada JSPT di peringkat kontinjen dan daerah. Op Rentas akan dilaksanakan setiap hari tidak statik pada satu kawasan sahaja, mungkin berpindah-pindah dan dilakukan secara berterusan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran alat bantuan teknik JSPT In Car Radar (Kamera Dalam Kenderaan Had Laju Bergerak) dan iCOPS di sini, hari ini.

Beliau turut mengingatkan kepada mana-mana individu supaya tidak merentas negeri tanpa kebenaran kerana tindakan boleh dikenakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan tersebut.

Berhubung rungutan orang ramai mengenai kesesakan yang berlaku ketika pemeriksaan sekatan jalan raya di pintu masuk daerah atau negeri, beliau menjelaskan ia adalah prosedur biasa dilakukan oleh pihak polis bagi meneliti setiap dokumen kebenaran merentas.

Mengenai ‘In Car Radar’, katanya alat berkenaan itu dipasang pada kenderaan peronda yang boleh mengesan kelajuan kenderaan dengan menggunakan teknologi radar, selain dapat membantu polis menjalankan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan lalu lintas secara konsisten.

Jelasnya alat tersebut juga dapat mengenakan saman serta merta, kepada mana-mana kenderaan dikesan melakukan kesalahan termasuk rekod jenayah.

– BERNAMA


Pengarang :