AGENDANASIONAL

Ringgit dijangka sekitar 4.07-4.10 berbanding dolar AS minggu depan

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Ringgit dijangka menyaksikan dagangan yang lebih berhati-hati berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan berikutan jangkaan peningkatan hasil Perbendaharaan AS yang mungkin meningkatkan minat terhadap mata wang negara maju itu, kata penganalisis.

Penganalisis Kanan Pasaran Asia Pasifik OANDA, Jeffrey Halley memberitahu Bernama, beliau menjangkakan ringgit/dolar AS bergerak dalam julat 4.09 dan seterusnya ke paras 4.07 minggu depan, namun dengan syarat tiada sebarang kejutan daripada data terkini negara maju itu.

Bagaimanapun, Peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata tindakan minggu ini yang melibatkan pihak Rizab Persekutuan AS mengekalkan kadar faedah semasa manakala Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan memberi sedikit petunjuk mengenai ekonomi negara itu dijangka disusuli dengan lebih banyak rangsangan serta cetakan wang bagi menyokong pertumbuhan ekonominya.

“Ini boleh membawa kepada aliran penurunan dolar AS berbanding ringgit,” katanya.

Menurutnya, secara teknikal, peniaga akan menumpukan paras 4.1050 yang mana sebarang peningkatan seterusnya akan memaparkan kepentingan belian pada minggu akan datang.

“Sebarang pergerakan di bawah 4.0930 akan dilihat sebagai tekanan jualan berterusan terhadap dolar AS dengan sasaran berikutnya sekitar 4.0750,” katanya.

Selain itu, seorang peniaga lain berkata pengukuhan harga minyak akan turut melonjakkan pergerakan ringgit.

Pada minggu ini, minyak mentah Brent yang juga penanda aras global bergerak dalam lingkungan melebihi paras US$60 iaitu US$65-US$68 setong.

Bagi asas Jumaat hingga Jumaat, ringgit mengukuh berbanding dolar AS kepada 4.0870/0930 daripada 4.1080/1130 seminggu sebelumnya.

Selain itu, ringgit juga meningkat berbanding mata wang utama lainnya.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0785/0839 daripada 3.0936/0978 pada minggu sebelumnya dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.7520/7581 daripada 3.8069/8119.

Ringgit juga tinggi berbanding pound Britain kepada 5.6834/6930 daripada 5.7007/7093 pada Jumaat lepas dan meningkat berbanding euro kepada 4.9428/9509 daripada 4.9522/9595 seminggu lepas.

– BERNAMA


Pengarang :