PBTSELANGOR

RTMPS 2030: Selayang sedia jadi bandar tahan impak pembangunan pesat

RAWANG, 1 MEI: Selayang bersedia menjadi sebuah bandar yang mampu menahan impak kepesatan pembangunan berlandaskan Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Selayang 2030 (RTMPS 2030).

Yang Dipertuanya Shamsul Shahril Badliza berkata RTMPS 2030 penting bagi membantu Kerajaan Negeri dan kerajaan tempatan menghasilkan keputusan lebih cepat menerusi kajian disediakan.

“Kita mempunyai wawasan pembangunan yang jelas merangkumi tiga teras utama iaitu mampan, bersih dan berdaya saing selain disokong 28 strategi dan 88 cadangan disusuli penyataan bertulis serta peta cadangan yang boleh diguna pakai bagi pembangunan kawasan Selayang sehingga 2030.

“Setiap cadangan dan tindakan RTMPS 2030 ini diselaras dengan 17 matlamat pembangunan mampan (SDG) yang meliputi aspek sosial, ekonomi dan alam sekitar bagi menghadapi isu global pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berucap pada majlis pelancaran program publisiti dan penyertaan awam Draf Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Selayang 2030 (DRTMPS 2030) di Le Gardens Pavilion di sini semalam.

Dalam acara yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, pihak berkuasa tempatan itu turut melancarkan logo dan identiti baharu Agenda 21 Tempatan MPS kepada Smart Selangor Mampan 2035

Sementara itu, Shamsul berkata pihaknya mengadakan pameran selama sebulan bermula semalam bagi publisiti dan hebahan berhubung draf rancangan tersebut kepada orang ramai.

Pameran dari jam 9 pagi hingga 4 petang berlangsung di Lobi MPS, Pejabat Daerah dan Tanah Gombak serta PlanMalaysia Selangor.

“Selama tempoh publisiti, orang awam boleh membuat semakan dokumen DRTMPS 2030 dan mereka boleh memberi maklum balas melalui dalam talian dengan melayari laman sesawang e-publisiti,” katanya.


Pengarang :