Anggota polis menahan individu yang ingkar PKP menerusi Operasi Bersepadu Covid-19 di Petaling Jaya. – Foto Ihsan Polis Daerah Petaling Jaya
AGENDANASIONAL

Sambut hari lahir, sembilan individu dikompaun

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Akibat meraikan sambutan hari lahir di sebuah pejabat di Pusat Dagangan NZX, Ara Damansara, di sini semalam, sembilan kakitangan pejabat berkenaan dikenakan kompaun RM65,000 keseluruhannya kerana melanggar prosedur operasi standarad (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Lapan individu dikenakan kompaun RM5,000 setiap seorang manakala penganjur majlis itu dikenakan kompaun RM25,000.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata kesemua individu berkenaan dikompaun pada 2.15 petang oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya yang membuat pemeriksaan mengejut.

Beliau berkata dalam pemeriksaan itu, pasukan pematuhan PKP IPD Petaling Jaya mendapati majlis itu diadakan di dalam sebuah bilik yang di dalamnya terdapat sembilan individu terdiri daripada lima wanita dan empat lelaki berumur lingkungan 23 hingga 45 tahun.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati majlis sambutan hari lahir itu merupakan aktiviti yang terlarang sebagaimana di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

“Kesemua individu yang diperiksa dikenakan kompaun di bawah Peraturan 9 iaitu aktiviti terlarang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai untuk sentiasa peka dan mematuhi SOP agar dapat bersama-sama memutuskan rantaian COVID-19 bagi kesejahteraan bersama.

— BERNAMA


Pengarang :