Petugas Kesihatan Selcare melakukan ujian calitan kepada peserta Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar di Dewan Serbaguna Kuang, Gombak pada 21 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Saringan Covid-19 besar-besaran Selangor wajar dicontohi

SHAH ALAM, 23 MEI: Kerajaan Perak digesa mencontohi Selangor yang melakukan Saringan Komuniti secara besar-besaran bagi mengekang penularan Covid-19.

Ahli Parlimen Teluk Intan berkata langkah Kerajaan Selangor itu dapat mengenal pasti lebih awal individu yang positif dan secara tidak langsung dapat mengawal penularan wabak, lapor Sinar Harian.

“Kerajaan Selangor sudah mula buat saringan besar-besaran secara percuma sejak 8 Mei lalu dan sehingga kini mereka telah membantu lebih 22,000 rakyat membuat saringan di semua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Di Perak dengan kes yang tinggi adalah wajib untuk memberi khidmat saringan percuma dengan segera khususnya di kawasan yang berisiko tinggi sepertimana dilakukan Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) Selangor,” kata Nga Kor Ming.

Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif di seluruh negeri sejak 8 Mei hingga 10 Jun yang memanfaatkan rakyat berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.

Saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) iaitu membolehkan jangkitan awal Covid-19 dikesan dalam tempoh kurang 30 minit.


Pengarang :