Petugas Kesihatan Selcare melakukan ujian calitan kepada peserta Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Beringin, Taman Seri Gombak, Gombak pada 19 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Saringan jejak ‘pembawa senyap’, ramai anak muda tanpa gejala

SHAH ALAM, 21 MEI: Saringan Komuniti Covid-19 berjaya mengesan banyak ‘pembawa senyap’ terutama dalam kalangan anak muda, kata EXCO kesihatan awam.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata golongan itu mudah dijangkiti berikutan kurang berhati-hati terhadap pematuhan tatacara operasi piawai (SOP).

“Melalui pengamatan saya selama setahun, anak muda ambil ringan soal SOP dan masih bersentuhan jika berjumpa, jadi perebakan itu mudah berlaku.

“Hampir 60 hingga 70 peratus kes positif juga membabitkan golongan ini yang tidak bergejala. Mereka ini bergerak bebas dan berisiko menjangkiti orang lain,” katanya dalam bual bicara secara langsung di Facebook.

Dr Siti Mariah Mahmud (tengah) meninjau suasana Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di Dewan Komuniti Taman Muda, Ampang pada 10 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Program Tanya Apa Sahaja “Covid-19: Saringan Percuma Solusi Terbaik” turut disertai Pengarah Pasukan Petugas Operasi Selangor (STFO) Dr Mohammad Farhan Rusli dan ahli Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) Dr Helmi Zakariah.

Dr Siti Mariah berkata kes kematian membabitkan golongan muda akibat jangkitan virus kian bertambah berbanding warga emas.

Sementara itu, Dr Mohammad Farhan berkata saringan secara pandu lalu terpaksa dihentikan berikutan kesesakan jalan raya yang teruk di beberapa lokasi sebelum ini.

“Memang benar risiko jangkitan kurang jika buat saringan pandu lalu tetapi jika kita hadir terus (walk in) dengan jaga jarak dan SOP, risikonya juga rendah,” katanya.

Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 DUN mulai 8 Mei hingga 10 Jun.

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat negeri ini yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.

Saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) iaitu membolehkan jangkitan Covid-19 dikesan dalam tempoh kurang 30 minit.


Pengarang :