Petugas Kesihatan Selcare membuat ujian calitan ke atas peserta Saringan Komuniti Covid-19 di Laman Sukan USJ 1, Subang Jaya pada 23 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Saringan Komuniti: Individu ada kontak rapat diasing, diuji segera

SUBANG JAYA, 23 MEI: Individu mempunyai kontak rapat kepada kes positif Covid-19 ditempatkan di ruang khas bagi mempercepat proses pengambilan sampel kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) di setiap lokasi.

Pengurus Klinik Selcare Mohd Noor Md Nasir berkata golongan terbabit tidak dibenarkan beratur bersama individu lain untuk mengelak kemungkinan jangkitan wabak.

“Mereka yang ada kontak rapat harus maklumkan kepada petugas di lokasi. Seperti warga emas dan orang kelainan upaya (OKU), proses saringan ke atas golongan ini dipercepatkan.

“Selepas disaring, kita minta mereka segera pulang ke rumah tanpa perlu berkumpul di lokasi seterusnya menyemak keputusan melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Saringan Komuniti secara percuma anjuran Kerajaan Negeri di Laman Sukan USJ 1 di sini hari ini.

Mohd Noor menambah individu berkaitan juga boleh melakukan saringan secara pandu lalu di lokasi saringan yang menyediakan kaedah berkenaan.

Sementara itu, beliau menyeru masyarakat memanfaatkan khidmat saringan percuma ditawarkan Kerajaan Negeri bagi mengetahui status kesihatan sama ada bebas virus mahupun ‘pembawa senyap’.

“Orang ramai boleh lihat lokasi program saringan seterusnya yang berlangsung sehingga 10 Jun melalui SELangkah dan menempak slot janji temu bagi mengelak terlepas peluang ini.

“Saya mengharapkan kerjasama orang ramai untuk mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) selain memastikan diri tidak terdedah kepada kemungkinan virus,” katanya lagi.

Sejak 8 Mei hingga 10 Jun, Kerajaan Selangor menjalankan pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 DUN menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag).

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 menyasarkan individu berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.


Pengarang :