Selangorkini
Petugas Kesihatan Selcare melakukan ujian calitan kepada peserta Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Orang Ramai Seksyen 7, Sungai Ramal, Kajang pada 9 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Saringan Komuniti kesan 80 peratus pesakit tanpa gejala

BANGI, 9 MEI: Sebanyak 80 peratus pesakit Covid-19 tidak bergejala berjaya dikesan melalui program Saringan Komuniti anjuran Kerajaan Selangor.

Pengurus Klinik Selcare Mohd Noor Md Nasir berkata situasi itu boleh menyebabkan perebakan virus lebih cepat dalam kalangan masyarakat jika tidak dikawal.

“Sejak saringan kali pertama kita berjaya mengesan 80 peratus (pesakit) tidak mempunyai sebarang gejala manakala bakinya bergejala.

“Perkara ini yang kita takut kerana ada kemungkinan mereka tidak bergejala ini jika tidak disaring dan tanpa disedari sebenarnya positif Covid-19 serta menyebabkan lebih banyak jangkitan dalam komuniti,” katanya.

Beliau ditemui pada Program Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Serbaguna, Seksyen 7 Bandar Baru Bangi di sini hari ini.

Kerajaan Selangor mengadakan program pengawasan bagi mengenal pasti kes aktif Covid-19 di seluruh negeri mulai 8 Mei hingga 10 Jun.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program saringan dimulakan sekitar Kajang dan Semenyih dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma untuk membendung penularan wabak.

Program menyasar penglibatan 50,000 penduduk meliputi kawasan berkepadatan tinggi dan golongan berpendapatan rendah.


Pengarang :