Petugas Klinik Selcare melakukan ujian calitan pandu lalu kepada peserta Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar di Dewan Orang Ramai Bandar Rinching, Semenyih pada 8 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Saringan Komuniti Subang Jaya guna kaedah pandu lalu

SHAH ALAM, 22 MEI: Kaedah pandu lalu dikhaskan untuk warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) pada Saringan Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya di Laman Sukan USJ 1 esok.

Wakil rakyat Michelle Ng Mei Sze berkata langkah itu dilakukan susulan jumlah pendaftaran yang tinggi.

Setakat jam 12 tengah hari tadi, seramai 5,000 sudah mendaftar, merupakan yang tertinggi sejak inisiatif dilaksanakan.

“Ibu mengandung serta keluarga yang membawa anak juga boleh menggunakan kaedah ini. Laluan masuk di Jalan USJ 1/2 dan keluar di Jalan Subang Permai.

“Orang awam turut dinasihatkan berkongsi kenderaan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) iaitu tiga orang satu kenderaan bagi mengelakkan kesesakkan,” katanya di Twitter.

Beliau turut menyarankan kehadiran mengikut waktu ditetapkan dalam aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Tangkap layar kod bar bagi akses yang cepat. Jika terlepas janji temu, datang selepas 1 tengah hari dan semak kepadatan menerusi SELangkah bagi merancang perjalanan,” katanya.

Bagi individu dari arah Lebuh Raya Shah Alam (KESAS) atau Persiaran Subang Permai, Michelle meminta mereka melakukan pusingan U di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chee Wen, Persiaran Subang Mewah.

Pengurus Klinik Selcare Mohd Noor Md Nasir menjangkakan bilangan terus meningkat dan meminta setiap individu mengikut slot ditetapkan bagi memastikan proses berjalan lancar.

 


Pengarang :