ADN Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin menyerahkan pek makanan kepada salah seorang peserta program Saringan Komuniti Covid-19 percuma di gelanggang bola keranjang Pusat Komuniti Bandar Utama, Damansara pada 25 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI 2 Attachments
ADNSELANGOR

Saringan Komuniti: Wakil rakyat pastikan penduduk terima layanan baik

DAMANSARA, 26 MEI: Pengalaman sebagai sukarelawan Saringan Komuniti Covid-19 di beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) membantu Ahli Dewan Negeri Bandar Utama membuat persediaan lengkap untuk kawasannya.

Wakil rakyat Jamaliah Jamaluddin berkata langkah itu dapat melancarkan proses saringan dan memberi perkhidmatan terbaik kepada orang awam.

“Hari ini (semalam) saya sediakan kerusi roda khas untuk mereka yang tidak boleh berjalan atau tidak larat.

“Ketika saringan di DUN Subang Jaya, saya ada lihat seorang individu tidak boleh berjalan. Saya mahu orang awam datang saringan mendapat keselesaan dan layanan baik,” katanya kepada SelangorKini.

Jamaliah berkata pihaknya turut menyediakan 200 bungkus minuman serta makanan kepada individu yang menjalani saringan.

“Kami juga mengagihkan biskut raya kepada individu yang awal memandangkan program ini berjalan di bulan Syawal,” katanya.

Semalam Saringan Komuniti anjuran Kerajaan Selangor diadakan di DUN Bandar Utama serta Kampung Tunku.

Sejak 8 Mei lalu, seramai 36,780 individu menyertai 20 Saringan Komuniti Covid-19 melibatkan DUN sekitar Gombak, Hulu Langat serta sebahagian Petaling.

Kerajaan Selangor menjalankan pengawasan Covid-19 secara aktif menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) sehingga 10 Jun ini.


Pengarang :