Petugas Klinik Selcare melakukan ujian calitan ke atas peserta program Saringan Komuniti Covid-19 percuma anjuran Kerajaan Negeri di Dewan MPK Taman Klang Jaya, Klang pada 31 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Saringan percuma diteruskan sepanjang PKP jika dibenarkan

KLANG, 31 MEI: Klinik Selcare bersedia meneruskan Saringan Komuniti jika dibenarkan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula esok.

Koordinator Saringan Komuniti Abdul Hadri Hakimi Abdul Rahman berkata pihaknya menjangkakan lebih ramai individu membuat saringan ketika PKP kerana mereka berada di rumah.

Koordinator Saringan Komuniti, Abdul Hadri Hakimi Abdul Rahman

“Sama ada operasi diteruskan atau tidak ketika PKP hanya akan diketahui petang ini dan kami menunggu makluman daripada pihak Menteri Besar Selangor,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau berkata demikian pada Saringan Komuniti di Dewan Majlis Perbandaran Klang (MPK) Taman Klang Jaya di sini hari ini.

Abdul Hadri Hakimi turut memberi jaminan tiada kesesakan ketika sesi saringan berikutan slot janji temu boleh dibuat menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Menerusi janji temu mereka boleh pilih sama ada mahu pagi, tengah hari atau petang. Kita ada slot setiap satu jam, jadi orang ramai boleh merancang dan ini tidak akan berlaku kesesakan,” katanya.

Kerajaan mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi menerusi PKP fasa pertama di seluruh negara selama 14 hari bermula Selasa hingga 14 Jun ini.

Menerusi langkah itu, semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang disenaraikan Majlis Keselamatan Negara (MKN).


Pengarang :