Petugas kesihatan membuat ujian calitan kepada peserta Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di Dewan Orang Ramai Titiwangsa, Hulu Langat pada 10 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Saringan percuma mahu cegah kluster ziarah Syawal

HULU LANGAT, 10 MEI: Program Saringan Komuniti secara percuma anjuran Kerajaan Negeri bertujuan mengekang perebakan Covid-19 sempena Syawal, kata Pengurus Klinik Selcare.

Mohd Noor Md Nasir berkata kebimbangan itu bersandarkan fakta sebanyak 80 peratus pesakit Covid-19 yang hadir melakukan saringan sebelum ini didapati tidak bergejala.

“Keputusan Kerajaan Persekutuan memberi kelonggaran ziarah Hari Raya Aidilfitri menimbulkan sedikit kebimbangan tercetus kluster baharu.

“Justeru kita menggesa masyarakat manfaatkan insiatif saringan percuma di setiap DUN,” katanya pada Program Saringan Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua di Dewan Orang Ramai Titiwangsa di sini, hari ini.

Beliau berkata saringan percuma diteruskan di DUN Lembah Jaya (Dewan Lembah Jaya) dan DUN Pandan Indah (Dewan MPAJ) esok.

Pada 4 Mei, Kerajaan Persekutuan mengumumkan ziarah hari raya bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibenarkan pada 1 Syawal sahaja dengan kehadiran 15 tetamu.

Ziarah hari raya bagi PKP Bersayarat dan PKP Pemulihan dibenarkan pada 1 sehingga 3 Syawal, masing-masing terhad 20 serta 25 tetamu.

Jumlah tetamu tersebut mengikut saiz rumah dengan penjarakan fizikal.


Pengarang :