Orang ramai mendaftar sebelum membuat saringan Covid-19 secara percuma di Dewan Serbaguna MPAJ, AU2, Hulu Kelang pada 18 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Saringan percuma, SELangkah antara usaha Selangor kawal Covid-19

SHAH ALAM, 18 MEI: Program Saringan Komuniti secara percuma di seluruh negeri antara sebahagian usaha Kerajaan Selangor bagi mengawal penularan Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata usaha lain termasuk penubuhan Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor, aplikasi SELangkah dan Pakej Rangsangan Ekonomi.

“Tidak dinafikan kes di Selangor tinggi namun kadar kebolehjangkitan kita sentiasa bawah kadar nasional dengan usaha berterusan melaksanakan saringan percuma.

“Kerajaan Negeri juga sentiasa berusaha menangani Covid-19 walaupun menghadapi pelbagai kekangan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Twitter.

Beliau turut menyeru penduduk sekitar Sungai Tua menyertai saringan esok di Dewan Seri Siantan dan Dewan Beringin di kawasan Gombak Setia mulai jam 9 pagi hingga 4 petang.

“Jangan lepaskan peluang untuk menyertai saringan secara percuma esok. Daftar di aplikasi SELangkah, elakkan menjadi pembawa senyap yang mampu menjangkiti ahli keluarga tanpa disedari,” tambah Amirudin.

Kerajaan Selangor mengadakan program pengawasan bagi mengenal pasti kes aktif Covid-19 di seluruh negeri mulai 8 Mei hingga 10 Jun.

Program saringan dimulakan sekitar Kajang dan Semenyih yang memberi peluang kepada rakyat berisiko, pernah menjadi kontak pesakit Covid-19, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.


Pengarang :