AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Saringan percuma Selangor kesan 1,171 individu disyaki positif dalam dua minggu

SHAH ALAM, 21 MEI: Saringan Komuniti berjaya mengesan 1,171 orang yang berkemungkinan positif sejak kempen penjejakan virus Covid-19 dua minggu lalu.

Dato’ Menteri Besar mendedahkan jumlah tersebut hasil saringan di 14 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di daerah Hulu Langat dan Gombak sejak 8 Mei lalu.

“Hingga 20 Mei, hampir 20,000 individu telah menghadiri ujian saringan Covid-19 percuma yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri,” kata Dato’ Seri Amrudin Shari di Facebook.

“Saringan ini dibuat bagi mengesan kes-kes positif bagi mengelak ‘silent carrier’ (pembawa senyap) dan memutuskan rantaian perebakan.”

Amirudin berkata meskipun saringan percuma menyumbang kepada jumlah kes yang tinggi, namun ia perlu dibuat bagi memastikan individu positif tidak menyebarkan virus tanpa sedar.

Jumlah yang disyaki positif itu bersamaan 5.8 peratus daripada 19,858 orang yang disaring dalam program mitigasi setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 diperkenalkan seminggu sebelum Aidilfitri.

Bagaimanapun di enam kawasan DUN, lebih lima peratus yang disaring berkemungkinan positif menggunakan ujian cepat RTK yang dijalankan oleh kakitangan Klinik Selcare, agensi swasta milik Kerajaan Negeri.

Kes dikategorikan berkemungkinan positif menjalani saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) sebelum menggunakan kaedah tindak balas berantai polimeras masa nyata (RT-PCR) bagi mendapatkan keputusan lebih tepat.

Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 DUN mulai 8 Mei hingga 10 Jun.

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat negeri ini yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.

 

Sumber Facebook Amirudin Shari

 


Pengarang :