Orang ramai yang membeli barangan keperluan di sebuah pasar raya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketat dengan memakai pelitup muka ketika tinjauan Perintah Kawalan Pergerakan pada 5 Februari 2021. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Sektor ekonomi dan sosial ditutup, perintah kawalan penuh mulai 1 Jun

SHAH ALAM, 28 MEI: Kerajaan melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara bagi tempoh dua minggu mulai 1 Jun.

Perkara itu diputuskan dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan
Covid-19 yang dipengerusikan perdana menteri petang tadi

“Sepanjang tempoh ini, semua sektor tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan oleh MKN,” menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri.

Kenyataan itu menyebut keputusan mengambil kira situasi terkini penularan Covid-19 melebihi 8,000 kes sehari, kes aktif lebih 70,000 dan angka korban yang semakin meningkat.

Tambahnya, kewujudan varian baharu yang lebih ganas dengan kadar kebolehjangkitan tinggi dan pantas turut mempengaruhi keputusan tersebut.

“Dengan peningkatan kes harian yang menunjukkan trend kenaikan secara lebih mendadak sejak mutakhir ini, kapasiti hospital di seluruh negara untuk merawat pesakit Covid-19 juga semakin terhad,” katanya.

Pejabat Perdana Menteri berkata perintah kawalan penuh fasa kedua dengan pembukaan semula beberapa sektor akan dibuat jika tempoh dua minggu pertama berjaya mengurangkan kes wabak.

Jelasnya, fasa kedua dilaksanakan dalam tempoh empat minggu sebelum memasuki fasa ketiga iaitu Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan ketika ini.

“Keputusan untuk beralih dari satu fasa ke fasa berikutnya tertakluk kepada penilaian risiko Kementerian Kesihatan Malaysia berdasarkan perkembangan kes harian dan kapasiti hospital untuk merawat pesakit Covid-19,” katanya.

Kenyataan itu turut menyebut pakej bantuan kepada rakyat dan sektor ekonomi terkesan akan diperincikan Kementerian Kewangan dalam tempoh terdekat.


Pengarang :