Petugas keselamatan membantu bukan warganegara melakukan imbasan kod QR SELangkah ketika Saringan Komuniti Covid-19 percuma di Dewan Seroja, Shah Alam pada 14 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

SELangkah ditambah baik dengan fungsi baharu

SHAH ALAM, 6 MEI: Aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) yang dibangunkan Kerajaan Selangor ditambah baik dengan beberapa fungsi baharu sempena setahun penggunaannya.

Menerusi perkongsian di Facebook SELangkah, tiga ciri baharu diperkenal adalah ‘multi-scanner’, ‘bubble’ dan ‘AfMap’.

Berdasarkan perkongsian video, ‘multi-scanner’ membolehkan individu mengimbas mana-mana kod QR termasuk kod QR MySejahtera. Secara tidak langsung ia mengimbas serta mendaftar masuk individu itu secara serentak.

‘Bubble’ pula berfungsi untuk daftar masuk secara berkumpulan di mana terdapat tiga kategori membabitkan keluarga, sahabat dan rakan sekerja.

Manakala ‘AfMap’ pula berfungsi memberi makluman tahap risiko apabila berada di sesuatu kawasan menerusi paparan kawasan dikenal pasti berisiko berlakunya penularan Covid-19 yang tinggi dalam masa 14 hari akan datang.

Aplikasi pengesanan kontak diperkenal 5 Mei tahun lalu itu bertujuan memudahkan pemantauan orang awam sepanjang pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata SELangkah menggunakan konsep asas kawalan automatik bagi pendaftaran individu yang memasuki mana-mana premis dengan mudah dan pantas.

Orang ramai boleh memuat turun aplikasi SELangkah di telefon pintar menerusi App Store atau Google Play Store.


Pengarang :