Anggota polis membuat sekatan jalan raya di Jalan Ampang pada 21 Mac 2020 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal penularan Covid-19. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor akur jika PKP semula, harap tidak jejas ekonomi

SHAH ALAM, 4 MEI: Selangor bersedia jika negeri itu dikenakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan kenaikan mendadak kes Covid-19.

Bagaimanapun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berharap pelaksanaannya tidak seketat PKP tahun lalu yang menjejaskan pelbagai sektor.

Beliau menjelaskan beberapa perkara perlu diteliti terutama membabitkan ekonomi dan kelangsungan hidup rakyat dalam usaha meredakan wabak berkenaan.

“Ya, sudah tentu Selangor perlu PKP. Kita sudah berikan beberapa cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara bagi mengawal pergerakan dan aktiviti di negeri ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas Majlis Menandatangani MoU Biasiswa antara Wanita Berdaya Selangor dan Universiti Terbuka Malaysia di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 4 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Kita mahu PKP sebab terdapat banyak hospital di Selangor sudah mencapai 70 peratus kapasiti penggunaan katil bagi menampung pesakit Covid-19,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Biasiswa antara Wanita Berdaya Selangor dan Universiti Terbuka Malaysia di pusat pentadbiran negeri hari ini.

Amirudin menambah pihaknya mencadangkan supaya PKP hanya dikenakan di zon merah selain memperketat tatacara operasi piawai (SOP) di tempat awam.

“Kita sudah berpengalaman dua kali PKP, adakah masih kekal PKP Bersyarat (PKPB)? Jika ketatkan lebih kurang PKP, saya rasa lebih baik laksana PKP sahaja,” katanya.

Sementara itu, jelasnya, SOP bazar Ramadan dan Aidilfitri juga diteliti bagi memastikan ekonomi peniaga tidak terjejas.

Selangor antara lima negeri yang dikenakan PKPB sehingga 17 Mei ini.


Pengarang :