Dato’ Seri Amirudin Shari (dua kiri) bertemu peserta Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Beringin, Taman Seri Gombak, Batu Caves pada 19 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor beli vaksin, bantu program imunisasi kerajaan pusat

GOMBAK, 19 MEI: Kerajaan Selangor membeli vaksin untuk penduduk negeri bagi melengkapkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dijalankan kerajaan persekutuan.

Dato’ Menteri Besar menegaskan pembelian tersebut bukan untuk mengaut keuntungan melalui tawaran majikan di negeri ini untuk membeli vaksin kepada pekerja mereka.

Dato’ Seri Amirudin Shari juga meyifatkan kenyataan separuh masak itu sengaja dicetuskan untuk memburuk-burukkan imej Kerajaan Negeri.

“Cukup saya kata kita akan bentang pelan selengkapnya. Sudah pasti Kerajaan Negeri tidaklah ingin menjual sepenuhnya (kepada majikan) dan akan sediakan juga untuk rakyat secukupnya.

“Apa yang Kerajaan Negeri buat (beli vaksin) untuk melengkapkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan oleh kerajaan persekutuan sebelum ini,” katanya selepas meninjau program Saringan Komuniti di Dewan Beringin Gombak Setia dan Dewan Seri Siantan Sungai Tua di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Kerajaan Negeri menawarkan pembelian vaksin kepada majikan dengan mendaftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Bagaimanapun, laman dan aplikasi tersebut tidak menyatakan jenis vaksin yang akan disediakan.

Selangor merancang untuk membeli antara tiga hingga lima juta dos vaksin bagi membendung penularan Covid-19 demi keperluan warga tempatan dan pekerja asing berikutan ada banyak kilang di negeri ini.


Pengarang :