Dato’ Seri Amirudin Shari melawat tapak projek Idaman Abadi (Kajang 2) di Tropicana Heights, Hulu Langat pada 2 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor bersedia jika PKP kembali dikuatkuasakan

KAJANG, 2 MEI: Selangor bersedia dalam semua aspek sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kembali dikuatkuasakan di negeri ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata segala bentuk tindakan dibincangkan bersama beberapa pihak antaranya Jabatan Pendidikan Negeri, yang dipertua majlis serta pegawai daerah semalam.

“Jika (PKP) dilaksana, ada kesan-kesan tertentu. Bagaimana untuk atasi isu pelajar pulang ke rumah, bagaimana format untuk beri peluang peniaga bazar raya dan Ramadan terus beroperasi.

“Ini antara sebahagian syor yang akan diangkat dalam mesyuarat bersama Kerajaan Persekutuan esok,” katanya.

Beliau ditemui pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah SelangorKu Residensi Adelia di sini hari ini.

Amirudin berkata, beberapa perkara juga bakal disentuh dalam perbincangan itu antaranya peningkatan kes dicatatkan minggu ini.

Menurutnya, penemuan varian kes Covid-19 juga akan disentuh memandangkan terdapat jangkitan berpunca dari bazar Ramadan dan raya serta pusat membeli belah.

“Kita juga dapat petunjuk dari Jabatan Kesihatan berkenaan kadar 60 peratus penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi.

“Ini menghampiri zon merah, yang kita perlu peka. Kebanyakkan kes dirujuk pada tahap tiga dan empat,” katanya.

 

 


Pengarang :