Petugas Kesihatan Selcare membuat ujian calitan ke atas peserta Saringan Komuniti Covid-19 di Laman Sukan USJ 1, Subang Jaya pada 23 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Selangor disaran wujud pusat saringan Covid-19 statik

PETALING JAYA, 24 MEI: Kerajaan Negeri disaran mewujudkan lokasi statik pusat saringan Covid-19 bagi memudahkan orang awam melakukan ujian itu secara terus.

Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing berkata cadangan itu disebabkan saringan di klinik kesihatan tidak menerima individu yang datang secara terus sebaliknya memerlukan janji temu.

“Malah, di klinik kesihatan fokus hanya kepada mereka yang mempunyai kontak rapat sahaja manakala swasta pula dibenarkan ‘walk in’ (secara terus) tetapi kos pula agak tinggi.

Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing R Rajiv

“Justeru, saya cadangkan apabila Kerajaan Negeri mewujudkan lokasi statik di satu-satu kawasan di Selangor secara berterusan, saya yakin lebih ramai yang datang dan mereka akan memaklumkan kepada saudara-mara, jiran atau rakan terdekat,” kata R Rajiv.

Beliau ditemui pada program Saringan Komuniti percuma anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Komuniti MBPJ 51A/227 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing hari ini.

Program bermula jam 9 pagi hingga 4 petang itu dijalankan serentak di Dewan Balairaya MBPJ Jalan PJS 2D/11 yang memanfaatkan masyarakat DUN Taman Medan.

Mulai 8 Mei hingga 10 Jun, Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui Saringan Komuniti percuma di seluruh negeri.

Saringan bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 menyasarkan individu yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.

Program bersambung esok di DUN Kampung Tunku dan Bandar Utama yang akan diadakan di Dewan Sebaguna SS3/14 serta Dewan Komuniti Bandar Utama 3.


Pengarang :