SELANGOR

Selangor FC lancar jersi ketiga, kit edisi terhad

SHAH ALAM, 3 MEI: Selangor FC (SFC) hari ini melancarkan jersi ketiga musim 2021 dan kit edisi terhad mereka menerusi laman sesawang dan kesemua platform media sosial mereka, sempena sambutan ulang tahun ke-85 pasukan Selangor sebagai pasukan bola sepak di Malaysia.

SFC dalam satu kenyataan hari ini menyatakan, antara keunikan yang terserlah bagi kedua-dua jersi ini ialah penggunaan logo pasukan bola sepak Selangor yang pertama dengan motif kepala banteng (Bos Javanicus) dan corak tangkai padi.

“Jersi ini adalah jersi pertama pasukan bola sepak Selangor yang dihasilkan bersama logo berkenaan, kerana ia tidak pernah digunakan di dalam edisi jersi-jersi Selangor sebelum ini,” menurut kenyataan itu.

Untuk rekod, pasukan bola sepak Selangor hari ini telah ditubuhkan pada 1936 setelah dua entiti bola sepak, Selangor Amatuer Football League (SAFL) dan Selangor Football Association (SFA) bergabung pada 22 Feb 1936, sebelum dijenamakan sebagai Persatuan Bola Sepak Selangor (FA Selangor).

Kenyataan itu menyatakan yang kelab itu turut memperkenalkan jersi edisi khas bagi menyambut ulang tahun ke-95 pasukan Red Giants itu, dalam arena bola sepak Malaysia.

“Jersi edisi khas ini terhad kepada 1,936 helai sahaja dan dijual dalam satu set yang turut mengandungi item-item eksklusif seperti beg pakaian, penyangkut baju dengan logo SFC, pemegang sijil beserta sijil yang mempunyai nombor bersiri unik bagi setiap helai jersi,” menurut kenyataan itu lagi.

Jersi terbaharu SFC ini kini boleh didapati dan dibeli di laman sesawang rasmi SelangorFC.com dengan harga RM109 untuk jersi ketiga dan RM299 untuk set eksklusif jersi edisi khas.

– BERNAMA


Pengarang :