Juruteknik Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bersedia di lokasi dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) yang terlibat dalam kemalangan semalam berhampiran Stesen LRT KLCC untuk melakukan kerja-kerja pembaikan pada 25 Mei 2021. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor gesa kongsi laporan penuh insiden tren bertembung

SHAH ALAM, 25 MEI: Kerajaan Negeri menggesa hasil siasatan insiden dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) bertembung dikongsi kepada semua pemegang taruh termasuk Selangor yang memiliki jaringan perkhidmatan tu.

EXCO Pengangkutan Ng Sze Han berkata hasil siasatan perlu dibincangkan bersama termasuk penilaian semula prosedur dan penyelenggaraan tren serta landasan LRT.

“Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) juga wajar memastikan kekerapan latihan kecemasan yang mencukupi untuk menghadapi insiden seumpama ini.

“Insiden ini menjejaskan usaha meningkatkan kepercayaan rakyat untuk menggunakan pengangkutan awam yang bukan sahaja selesa dan cepat tetapi selamat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sze Han berkata Kerajaan Negeri menyasarkan penggunaan 60 peratus pengangkutan awam menjelang 2030 seiring pertambahan penduduk di Lembah Klang.

Kementerian Pengangkutan menubuhkan pasukan panel penyiasat khas untuk mengenal pasti punca dua tren LRT laluan Kelana Jaya bertembung berdekatan Stesen LRT KLCC semalam.

Menterinya Datuk Seri Wee Ka Siong menjangkakan laporan penuh insiden itu diperoleh dalam tempoh dua minggu.

Kejadian pada 8.45 malam melibatkan sebuah tren membawa penumpang dan sebuah tren rosak sedang dipandu uji. Seramai 65 mangsa masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur.


Pengarang :