Jemaah menunaikan solat sunat tarawih dalam norma baharu dengan melakukan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka bagi mengekang penularan Covid-19 ketika tinjauan di Masjid Sultan Abdul Samad Sungai Raba, Banting pada 12 April 2021. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selangor hadkan hingga 50 jemaah tunai solat sunat Aidilfitri

SHAH ALAM, 12 MEI: Seramai 20 dan 50 jemaah dibenarkan bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri, Jumaat dan fardu lima waktu mengikut kapasiti maksimum masjid serta surau di Selangor.

Perkara itu dimaklumkan EXCO hal ehwal agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni menerusi Facebook hari ini.

Katanya, ketetapan bilangan jemaah termasuk pentadbir itu berdasarkan kapasiti rumah ibadat seperti berikut:

1) Solat sunat Aidilfitri – 50 jemaah
– Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, masjid pengurusan, masjid institusi serta masjid kariah, surau kebenaran Jumaat dan surau kariah (lebih 1,000 kapasiti)

2) Solat sunat Aidilfitri – 20 jemaah
– Masjid kariah, surau kebenaran Jumaat dan surau kariah (kuran 1,000 kapasiti)

3) Solat Jumaat dan solat fardu lima waktu – 50 jemaah
– Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Masjid Tengku Ampuan Jemaah, masjid pengurusan, masjid dan surau institusi serta masjid kariah, surau kebenaran Jumaat dan surau kariah (lebih 1,000 kapasiti)

4) Solat Jumaat dan solat fardu lima waktu – 20 jemaah
– Masjid kariah, surau kebenaran Jumaat dan surau kariah (kurang 1,000 kapasiti)

Bagi aktiviti pengimarahan masjid dan surau dibenarkan pula, Mohd Zawawi memaklumkan kuliah/tazkirah Jumaat (bersemuka atau dalam talian) dibolehkan dengan keutamaan disampaikan imam rumah ibadat berkenaan.

Katanya, penceramah jemputan perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketat seperti memiliki kad tauliah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan satu-satu sesi tidak melebihi 30 minit manakala penceramah perlu rentas daerah tidak dibenarkan.

“Tadarus Al-Quran pula jemaah dibenarkan hadir ke masjid pada waktu Maghrib untuk mengadakannya dalam kumpulan kecil tidak lebih lima orang sementara menunggu waktu solat Isya’.

“Manakala pengurusan solat jenazah bukan Covid-19 dibenarkan di masjid dan surau dengan kehadiran jemaah dan kaum keluarga tidak lebih separuh dari bilangan jemaah solat fardu dibenarkan,” katanya.

Beliau berkata bagi program bacaan yasin dan zikir munajat digalakkan pada setiap malam semasa pandemik serta bagi majlis tahlil syarat pelaksanaan program hanya melibatkan bilangan jemaah sedia ada dibenarkan hadir.

“Pentadbir masjid dan surau juga hendaklah memberi kemudahan ruang solat untuk musafir, pemandu e-panggilan, penghantar makanan dan pemandu kenderaan awam dengan mematuhi SOP,” katanya.


Pengarang :