Orang ramai beratur menunggu giliran untuk menyertai Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar di Dewan MBPJ Jalan 51A/227, Petaling Jaya pada 24 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor kesan empat kluster babit tempat kerja, kumpulan risiko tinggi

SHAH ALAM, 24 MEI: Terdapat empat kluster baharu dikesan di negeri ini hari ini membabitkan tempat kerja dan kumpulan berisiko tinggi.

Ketua pengarah kesihatan memaklumkan kluster yang dilapor adalah sebahagian daripada 20 kluster baharu seluruh negara.

“Kluster pertama adalah Jalan Tengkorak dikesan di Kuala Selangor yang mana 611 individu disaring dengan lapan dikesan positif Covid-19.

“Kluster Jalan Bestari Satu pula 53 individu positif daripada 343 individu yang disaring. Ia dikesan di Klang dan Petaling,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan.

Katanya, kluster Jalan Dato Sellatheven sama seperti kluster pertama dan kedua membabitkan tempat kerja yang dikesan Klang dengan 86 orang didapati positif daripada 247 yang disaring.

“Kluster kumpulan berisiko tinggi iaitu Jalan Jed pula dikesan di Klang dan Kuala Langat yang mana 85 orang disaring dengan 14 didapati positif,” katanya.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan secara keseluruhan sebanyak 2,045 kluster dikesan dalam negara dengan 1,475 kluster telah tamat dan 570 kluster masih aktif.


Pengarang :