Seorang kakitangan perubatan menerima suntikan vaksin Covid-19 di pusat pemberian vaksin, Serdang pada 4 Mac 2021. Foto REUTERS
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selangor ramai penduduk, Putrajaya disaran agih lebih banyak vaksin

SHAH ALAM, 21 MEI: Kerajaan persekutuan disaran menyalurkan jumlah vaksin lebih tinggi kepada Selangor berikutan ada ramai penduduk di negeri ini.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata suntikan pelalian penting bagi mengurangkan risiko jangkitan dan gejala lebih teruk seperti kesesakan nafas.

“Jumlah agihan vaksin di luar kawalan Kerajaan Negeri, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan tentukan mengikut fasa kerana bekalan dari luar negara.

“Selangor hanya sokong dari segi penyediaan pusat pemberian vaksin (PPV), namun saya setuju agihan lewat kerana hanya 3.3 peratus penduduk negeri ini divaksin setakat 17 Mei,” katanya pada program bual bicara secara langsung di Facebook.

Kerajaan Negeri merancang untuk membeli antara tiga hingga lima juta dos vaksin bagi membendung penularan Covid-19 demi memenuhi keperluan warga tempatan selain pekerja asing.

Urusan pembelian 2.5 juta dos vaksin untuk kira-kira 1.25 juta penduduk negeri ini kini pada peringkat akhir dan proses pembelian dijangka dimuktamad pada bulan depan.

Sementara itu, ahli Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor Dr Helmi Zakariah berkata kes di negeri ini tinggi berikutan bilangan penduduk yang ramai.

“Logik kes di Selangor tinggi bukan sahaja Covid-19 tetapi termasuk penyakit lain seperti denggi dan kencing manis kerana populasinya banyak.

“Tetapi saringan berterusan membantu kita untuk mengawal perebakan. Biar kes tinggi tetapi jumlah kematian penduduk rendah dan strategi itu berhasil,” katanya.

 


Pengarang :