Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas meninjau program Saringan Komuniti Covid-19 anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Serbaguna Teluk Pulai, Klang pada 29 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor rangka strategi bantu golongan terjejas perintah kawalan penuh

KLANG, 29 MEI: Kerajaaan Negeri akan merangka strategi bagi menyediakan bantuan bersesuaian kepada golongan terjejas susulan penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial minggu depan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bentuk sumbangan bakal diteliti dengan mengambil kira kedudukan semasa kewangan negeri.

“Saya baru lepas berbincang dengan pasukan dan mungkin boleh kenal pasti (bentuk bantuan) dalam masa terdekat. Kita perlu memikirkan perkara ini kerana kesannya sangat parah.

“Apatah lagi dalam tempoh dua minggu ditetapkan kita bimbang tidak boleh habis, mungkin akan lebih panjang,” katanya pada Saringan Komuniti percuma di Dewan Serbaguna Teluk Pulai di sini hari ini.

Semalam, kerajaan mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara selama 14 hari bermula Selasa ini hingga 14 Jun.

Menerusi langkah itu, semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pada 20 Januari lalu, Kerajaan Negeri mengumumkan pakej bantuan khusus untuk rakyat sebagai langkah mendepani cabaran Perintah Kawalan Pergerakan 2.0.

Pakej Kita Selangor memberi implikasi kewangan berjumlah RM73.877 juta kepada Kerajaan Negeri.


Pengarang :