Penduduk sekitar pekan Meru, Klang mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka bagi mengelak penularan Covid-19 ketika tinjauan pada 8 Oktober 2020. Foto BERNAMA
SELANGOR

Selangor rekod 1,424 jangkitan baharu Covid-19

SHAH ALAM, 7 MEI: Jangkitan baharu Covid-19 di Selangor meningkat kepada 1,424 kes hari ini berbanding 1,137 yang dicatat semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata negeri itu kekal merekodkan angka harian tertinggi dalam negara dengan 1,165 kes dikesan daripada kluster sedia ada dan saringan kontak rapat.

“Jumlah ini termasuk 22 kes kluster baharu iaitu kluster Jalan Nouvelle, kluster Persiaran Perpaduan USJ dan kluster Pulau Ketam manakala 259 kes lain-lain saringan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata tiga kematian baharu turut direkodkan di negeri itu membabitkan lelaki warga tempatan berusia lingkungan 53 hingga 62 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kronik.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan sebanyak 1,023 pesakit sembuh dicatatkan hari ini dengan keseluruhan kes pulih 135,763.

“Kes aktif yang sedang dirawat pula sebanyak 4,090 dengan 10 daripadanya membabitkan jangkitan luar negara,” kata jabatan itu menerusi Facebook.

Keseluruhannya, sebanyak 140,270 kes dilaporkan di Selangor sejak pandemik menular.


Pengarang :