Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (kanan) menunjukkan cek cura berjumlah RM35,160 yang diserahkan Pemangku Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Mohd Rashidi Ruslan (kiri) pada 31 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor yakin tabung kemanusiaan Palestin capai sasaran RM1 juta

SHAH ALAM, 31 MEI: Kerajaan Negeri yakin sasaran mengumpul RM1 juta untuk Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin mampu dicapai susulan lanjutan tempoh kutipan selama dua minggu.

Dato’ Menteri Besar berkata pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan beberapa agensi mempergiat kutipan dana bagi membantu rakyat Palestin.

“Kita sedang kumpul dari pihak berkaitan yang mungkin boleh menyampaikan sumbangan dan akan dikemas kini dari semasa ke semasa kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedikit terganggu.

“Bagaimanapun, kita cuba pastikan dana RM1 juta dicapai dan dapat bersama Global Peace Mission Malaysia yang akan melaksanakan projek diwar-warkan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan cek cura kempen kutipan Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin Palestin sumbangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di kediamannya hari ini.

Sumbangan berjumlah RM35,160 disampaikan Pemangku Datuk Bandar MBSA Mohd Rashidi Ruslan.

Amirudin menambah MBSA menjadi PBT pertama negeri ini yang berjaya mengumpul dana secara berkelompok melalui sumbangan ahli majlis, badan dakwah dan warga kerjanya.

“Yang lain mungkin secara peribadi, tetapi mereka (MBSA) yang memulakan inisiatif ini dari awal sejak kempen bermula,” katanya.

Kerajaan Negeri melancar tabung berkenaan untuk rakyat Palestin selama 10 hari sejak 19 Mei, namun dilanjutkan dua minggu lagi susulan PKP.

Lebih RM350,000 berjaya dikutip setakat ini hasil sumbangan wakil rakyat, anak syarikat Kerajaan Negeri, pihak swasta dan orang ramai, selain tiga individu menyumbang barang kemas bernilai RM30,000.

Orang ramai yang ingin menyumbang ke Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin boleh dibuat melalui nombor akaun 8604747531 (Cimb Islamic Bank Berhad) atas nama Bendahari Negeri Selangor dan rujukan Palestin.


Pengarang :