Petugas Kesihatan Selcare memasukkan data sampel Covid-19 pada 23 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Selcare: 1,353 disyaki positif Covid-19 menerusi Saringan Komuniti di 16 DUN

SUBANG JAYA, 23 MEI: Seramai 1,353 individu berkemungkinan positif Covid-19 menerusi Program Saringan Komuniti yang dijalankan di 16 Dewan Undangan Negeri (DUN) setakat ini.

Pengurus Klinik Selcare Mohd Noor Md Nasir berkata daripada jumlah itu, sebanyak 70 peratus membabitkan golongan berusia lingkungan 18 hingga 40 tahun.

“Sehingga semalam, sejumlah 24,331 sampel kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) berjaya diambil dengan golongan produktif (usia 18 hingga 40 tahun) paling ramai positif.

“Majoriti mereka (positif) iaitu sekitar 80 peratus tidak mengalami sebarang gejala seperti demam, batuk dan sakit tekak. Individu terbabit datang dan mendedahkan diri mereka sihat namun dikesan positif selepas sampel diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Saringan Komuniti percuma anjuran Kerajaan Negeri di Laman Sukan USJ 1 di sini hari ini.

Program bermula jam 9 pagi hingga 4 petang itu dijalankan serentak di Dewan Komuniti MBPJ di Kampung Lindungan yang memanfaatkan masyarakat di bawah DUN Seri Setia.

Sementara itu, Mohd Noor berkata bilangan pradaftar menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) untuk menjalani ujian di kedua-dua lokasi terbabit amat memberangsangkan apabila mencecah 12,000.

Menurutnya, perkembangan itu didorong faktor kepadatan penduduk di Subang Jaya dan Petaling Jaya selain kesedaran orang ramai dan cuti hujung minggu.

“Subang Jaya mencatat jumlah pradaftar paling tinggi dengan 8,000 orang, 70 peratus daripadanya memilih untuk buat saringan pandu lalu dan selebihnya secara terus manakala 4,000 di Seri Setia.

“Kita lihat kesedaran dalam kalangan masyarakat semakin tinggi. Sejak pendaftaran dibuka minggu lepas, angka (pradaftar) harian naik dengan drastik dan diharap momentum ini diteruskan,” katanya lagi.

Sejak 8 Mei hingga 10 Jun, Kerajaan Selangor menjalankan pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 DUN menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag).

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 menyasarkan individu berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.


Pengarang :