Petugas Kesihatan Selcare memasukkan data sampel untuk dianalisis ketika Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Serbaguna MPAJ, AU2, Hulu Kelang pada 18 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Selcare sedia saring pelajar IPT pulang ke kampus

HULU KELANG, 18 MEI: Klinik Selcare bersedia membuat saringan Covid-19 ke atas pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang pulang semula ke kampus selepas cuti hari raya.

Pengurusnya Mohd Noor Md Nasir berkata langkah itu bagi mengelakkan penyebaran wabak di kawasan kampus berikutan mereka pulang dari pelbagai kawasan berbeza.

“Kita khuatir ada pelajar datang dari kawasan merah dan jika tidak disaring kita bimbang mereka membawa masuk virus di kawasan itu.

“Sebagai contoh di Kuala Selangor kawasan hijau tetapi apabila pelajar pulang ke kampus ia bertukar menjadi merah jika kita tidak saring mereka dari awal,” katanya ditemui pada program Saringan Komuniti di Dewan Serbaguna MPAJ di sini.

Bagaimanapun, Mohd Noor berkata ujian hanya dibuat mengikut arahan dan keputusan Kerajaan Negeri.

Lebih 100,000 pelajar IPT yang tinggal di kampus pulang ke rumah masing-masing secara berperingkat antara 7 hingga 12 Mei sempena sambutan Aidilfitri.

Mereka meliputi pelajar universiti awam dan swasta, politeknik serta kolej komuniti selepas mendapat kebenaran Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Tarikh pulang semula ke kampus pula ditetapkan antara 15 hingga 20 Mei.


Pengarang :