Vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech selamat tiba di Pejabat Kesihatan Putrajaya pada 24 Februari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Semua vaksin Covid-19 halal, henti percaya berita palsu

SHAH ALAM, 3 MEI: Semua vaksin Covid-19 yang berada di pasaran adalah halal dan selamat untuk diimunisasi, kata EXCO kesihatan awam.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata jaminan itu dibuat hasil kajian dan bukan diputuskan secara melulu atau tidak ditunjangi hujah kukuh.

“Semua vaksin yang ada di pasaran halal, kita tidak seharusnya berasa ragu-ragu. Malah, negara Islam lain juga telah mengiktiraf jaminan bahawa vaksin yang ada sekarang ini halal.

“Tetapi masyarakat terlalu percaya berita sensasi di media sosial berhubung vaksin bahaya. Mereka seharusnya ada kesedaran dan jangan terlalu baca berita palsu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran secara langsung menerusi segmen Tanya Apa Saja: Vaksin Covid-19 di Facebooknya, yang turut menampilkan Pengarah Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC), Dr Mohammad Farhan Rusli dan Ahli STFC, Dato’ Dr Khalid Ibrahim.

Pada masa sama, Dr Siti Mariah turut meluahkan kebimbangan apabila pendaftaran vaksin di Selangor masih belum mencapai 50 peratus.

“Kita mahu sekurang-kurangnya 70 peratus ke 80 peratus rakyat mengambil vaksin sekali gus jangkitan terhadap Covid-19 dapat dikurangkan.

“Jangan sampai kerajaan mewajibkan pengambilan vaksin sebagaimana wajibnya pemakaian pelitup muka. Ianya sudah tentu akan mendatangkan kesusahan nanti,” jelasnya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri menyediakan pelbagai platform untuk memudahkan rakyat mendaftar vaksin termasuk program Outreach Imunisasi Covid-19 Selangor (ImuniSel) bagi membantu individu yang tiada akses telefon pintar dan internet.

Bagaimanapun, katanya pengambilan vaksin tidak bermakna wabak berakhir sebaliknya lebih kepada mencegah dan pada masa sama perlu kekal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).


Pengarang :