AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Senandung Aidilfitri #KitaSelangor hebah inisiatif bermanfaat untuk rakyat

SHAH ALAM, 14 MEI: Program hiburan dalam talian Senandung Aidilfitri #KitaSelangor yang ditayangkan malam ini turut menyelitkan informasi berhubung Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) negeri ini.

EXCO kebudayaan dan warisan berkata Kerajaan Negeri mengambil peluang menghebohkan segala info bagi membolehkan rakyat mendapat manfaat, antaranya Kasih Ibu Smart Selangor, skim air percuma dan Program Tuisyen Rakyat Selangor.

“Kita tidak sediakan hiburan semata-mata. Kita selang-selikan dengan maklumat inisiatif disediakan bagi memastikan rakyat mendapat bantuan.

“Kita tidak mahu ada rakyat yang tercicir dari menerima bantuan terutama golongan yang benar-benar memerlukan,” kata Borhan Aman Shah ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata program kira-kira 75 minit itu diyakini mendapat jumlah tontonan tinggi memandangkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang melarang aktiviti kunjung mengunjung.

“Kita galakkan anak perantau di luar negara menonton rancangan ini bagi mengubat kerinduan kepada keluarga dan kampung halaman,” katanya.

Bersiaran jam 9 malam ini, program menampilkan Aisyah, Najwa Latif, Siti Nordiana, Bunkface, Roy, Azmi Caliph Busker dan Ahmad Yassin yang memiliki suara mirip Allahyarham Datuk Ahmad Jais.

Selebriti Salleh Yaacob, Raja Azura dan Ropie Cecupak bergandingan sebagai pengacara dalam program yang dipancar melalui saluran selangortv.my dan Youtube carian SelangorTV.

Che Puan Juliana Evans turut tampil melakonkan sketsa nasib golongan berpendapatan rendah yang menerima (IPR).

Rakaman program dijalankan antara 3 hingga 10 April di beberapa lokasi di Sepang, Gombak dan Kuala Selangor.

Penerbit eksekutif Megaday Sdn Bhd Azhar Sulaiman bertanggungjawab menjayakan keseluruhan rakaman.

Program anjuran Kerajaan Selangor dengan kerjasama Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri (Padat), Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) dan Gaya Travel diulang siar melalui Facebook Media Selangor jam 3 petang pada 3 Syawal.


Pengarang :