Orang ramai menonton program Senandung Aidilfitri #KitaSelangor secara langsung melalui SelangorTV pada 14 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Senandung Aidilfitri #KitaSelangor sarat mesej, hiburan berkualiti

SHAH ALAM, 15 MEI: Kemeriahan Syawal dirasai menerusi program Senandung Aidilfitri #KitaSelangor yang disiar melalui saluran selangortv.my dan Youtube carian SelangorTV, malam tadi.

Program lebih sejam itu menampilkan Aisyah, Najwa Latif, Siti Nordiana, Bunkface, Roy, Azmi Caliph Busker dan Ahmad Yassin yang memiliki suara mirip Allahyarham Datuk Ahmad Jais.

Dihoskan oleh pelawak terkenal Salleh Yaacob, Raja Azura dan Ropie Cecupak, program yang bersiaran mulai jam 9 malam turut menampilkan maklumat berkaitan Inisiatif Peduli Rakyat.

Selebriti berdarah kacukan Che Puan Juliana Evans membuat penampilan istimewa dengan melakonkan sketsa nasib golongan berpendapatan rendah yang menerima inisiatif tersebut.

Kemunculan pelakon itu ketika aktiviti gotong-royong dinanti penduduk kampung yang gembira membuat persiapan Aidilfitri selepas menerima baucar Jom Shopping dari Kerajaan Selangor.

Siti Nordiana antara artis yang menjayakan program Senandung Aidilfitri #KitaSelangor. Foto Gaya Travel Magazine

Turut dipaparkan kegembiraan sepasang suami isteri menerima bekalan air secara percuma menerusi Skim Air Darul Ehsan.

Golongan bapa juga gembira anak-anak menerima insentif kelas tambahan percuma menerusi Program Tuisyen Rakyat Selangor, Skim Bantuan Tadika Selangor dan Tabung Warisan Anak Selangor.

Rakaman program di beberapa lokasi antaranya Sepang, Gombak dan Kuala Selangor turut mendapat pujian penonton yang mengikutinya secara langsung.

Sementara itu, Dato’ Menteri Besar berkata program Senandung Aidilfitri #KitaSelangor gantian kepada rumah terbuka Aidilfitri yang terpaksa dibatalkan susulan penularan Covid-19.

“Rakaman Senandung Aidilfitri #KitaSelangor memaparkan keunikan, kebudayaan dan kehidupan rakyat negeri ini selain sketsa menunjukkan program bawah pentadbiran Kerajaan Negeri,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi video di Facebook.

Program dengan kerjasama Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri, Unit Perancang Ekonomi Negeri dan Gaya Travel diulang siar melalui Facebook Media Selangor jam 3 petang pada 3 Syawal.

Program juga boleh ditonton dengan melayari https://www.youtube.com/watch?v=hyrju4e3wrA.


Pengarang :